ARKIB :
17/02/2011
PETALING JAYA
- Pemain tengah Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor menaruh harapan agar
terpilih untuk beraksi dalam kesebelasan utama pasukan Olimpik negara menentang
skuad Olimpik Pakistan pada perlawanan kelayakan pertama Rabu depan di Stadium
Shah Alam.
Ketika ini,
ketua jurulatih, Ong Kim Swee masih belum lagi membuat keputusan siapa yang
bakal membarisi kesebelasan utama skuad Olimpik negara untuk perlawanan minggu
depan.
Keadaan
tersebut membuatkan Wan Zack terpaksa memberikan seratus peratus komitmen pada
perlawanan menentang Perlis, kelmarin dalam usaha menarik perhatian Kim Swee
agar memilihnya untuk berada dalam kelompok pemain utama pasukan.
''Saya kini
akan memberikan sepenuh tenaga dan komitmen kepada pasukan kami selain
meletakkan harapan tinggi agar dipilih untuk berada dalam kesebelasan utama.
''Buat masa
ini biarlah jurulatih menilai pemain mana yang layak untuk beraksi menentang
Pakistan pada minggu depan kerana jurulatih yang lebih memahami kekuatan dan
kelemahan pemain,'' katanya kepada pemberita selepas perlawanan Harimau Muda A
menentang Perlis di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Kelana Jaya,
kelmarin.
Pada
perlawanan tersebut, Harimau Muda A hanya memperoleh keputusan seri 1-1
menentang Perlis.
Sewaktu
perlawanan berlangsung Wan Zack turut dilihat beraksi dengan baik apabila berjaya
mencipta peluang untuk melakukan rembatan tepat ke pintu gol Perlis seawal
minit ke-6 namun bola berjaya ditangkap oleh penjaga gol, Hairon Fazreen.
Ketika babak
kedua bermula aksi yang dipamerkan Wan Zack sedikit hambar selain gagal
memanfaatkan peluang yang terbuka pada minit ke-62 di hadapan pintu gol Perlis.
Gol skuad
Harimau Muda A hanya mampu diperolehi melalui pemain Gary Steven Robbat pada
minit ke-89 selepas Perlis memperoleh jaringan awal pada minit ke-74 hasil
rembatan kencang Mohd. Faiz Subri.
SUMBERArtikel
Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_14.htm#ixzz5ddFLx1R2
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan