ARKIB : 20/07/2011
Pemain skuad Pilihan Malaysia giat menjalani
latihan di padang MSN, Bukit Jalil, semalam sebagai persediaan menentang
Chelsea, esok. - UTUSAN/AHAMD ZAKKI JILAN
KUALA LUMPUR - Kedua-dua pemain ini ternyata
berbeza dari segi pengalaman mahupun umur, namun Wan Zack Haikal Wan Nor dan
Bahdri Radzi bakal berdepan satu lagi peristiwa yang belum pernah mereka lalui,
iaitu menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, esok.
Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi saksi
kepada kedua-dua pemain Pantai Timur ini jika diturunkan oleh jurulatih pasukan
Pilihan Malaysia, Ong Kim Swee dalam perlawanan persahabatan sempena Siri
Jelalah Asia kelab London itu.
Bagi pemain kelahiran Pahang, Wan Zack, semuanya
berjalan lancar dan dia sudah bersedia seratus peratus untuk berdepan dengan
pemain bertaraf dunia walaupun pada usia yang amat muda, iaitu 20 tahun dan
masih kurang pengalaman di peringkat antarabangsa.
"Saya mengikuti segala arahan jurulatih
terutama sekali dari segi taktikal sebagai persediaan penting untuk bertemu
dengan pemain Chelsea yang rata-ratanya mempunyai fizikal lebih besar daripada
saya," kata pemain Harimau Muda A itu yang ketika ini mewakili skuad
Olimpik negara.
Jelas Wan Zack, bukan mudah untuk menentang
Chelsea, tambahan pula kesemua pemain skuad itu mempunyai pengalaman dalam
saingan EPL mahupun perlawanan antarabangsa mewakili skuad negara
masing-masing.
"Saya tetap berasa gugup tetapi saya berjanji
akan memberi komitmen seratus peratus dan saya berazam untuk menjaringkan gol,
walaupun saya sedar ia bukan satu misi mudah. Saya akan cuba sedaya upaya untuk
mencapai cita-cita tersebut," kata pemain sayap kanan itu.
Sementara itu, Badhri atau terkenal dengan panggilan
Piya, dia berasa bangga selepas disenaraikan dalam skuad Pilihan Malaysia
walaupun ia bukanlah skuad kebangsaan sebenar.
Ini kerana ia adalah pengalaman pertamanya
menyarung jersi kebangsaan sejak dia mula bermain bola sepak pada usia remaja.
"Saya akan menggunakan peluang ini
sebaik-baiknya. Ini adalah pentas terbaik untuk saya belajar dan membuktikan
bahawa saya layak diserapkan dalam skuad kebangsaan kendalian Datuk K.
Rajagobal," kata ketua pasukan Kelantan itu.
Pemain berusia 29 tahun itu berkata, walaupun
diberi peluang singkat untuk berlatih bersama pemain senior yang lain serta
bersama pemain muda, dia akan memberikan persembahan terbaik terutama sekali
untuk merencanakan serangan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eZkGK1wY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan