Selasa, 18 Disember 2018

Harimau kecundang lagi


ARKIB : 15/03/2010
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Sudahlah status perlawanan masih dipertikaikan, sentuhan kecundang (0-3) pula terus menimpa Harimau Muda A dalam aksi ketiga menentang MFK Zemplin Michalovce, kelmarin.

Skuad bawah 21 tahun Malaysia itu hanya menyerah dengan atur gerak sepakan sudut lawan dalam perlawanan bola sepak Liga 1 Slovakia.

Jurulatih Harimau Muda A, Azraai Khor Abdullah bagaimanapun mendakwa, keputusan itu mampu dielak atau diperbaiki anak buahnya sehingga mampu meraih seri jika mereka mengekalkan tumpuan sepanjang 90 minit permainan.

"Sebenarnya gol yang dijaringkan lawan pada minit ke-44, 70 dan 90 masih boleh dielak jika pemain sentiasa mengekalkan fokus. Hanya menerusi sepakan sudut, lawan beroleh gol yang turut dibantu oleh ketinggian tubuh mereka.

"Kami bermain dalam keadaan padang astroturf dan cuaca yang bersalji tebal tetapi corak permainan kali ini lebih mantap dan bertenaga. Perlawanan ini nyaris ditunda kerana keadaan itu mujurlah timbunan salji berjaya dibersihkan," katanya menerusi laman sosial, Facebook.

Kelmarin, Harimau Muda A menurunkan kesebelasan utama seperti Zamir Selamat, Mahalli Jasuli, Muslim Ahmad, Faizal Mohamad, Nazri Ahmad, Wan Zack Haikal Wan Nor, Shukur Jusoh, Gary Steven Robbat, K. Ravindran, A. Thamil Arasu dan S. Sivanesan.

Dua perlawanan pada 27 Februari dan 6 Mac lalu menyaksikan anak buah Azraai kecundang 1-4 dan 0-2 kepada Slovan Duslo Sala dan MFK Ruzemberok B dengan Wan Zack Haikal muncul penjaring tunggalnya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5a2PLLLnX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan