Selasa, 22 Januari 2019

Wan Zack bintang dalam pembikinan


ARKIB : 11/01/2011
KUALA LUMPUR - Aksinya di bahagian sayap tampak begitu sempurna, lincah dan laju, malah sering melakukan hantaran silang yang cantik untuk disudahkan oleh rakan sepasukannya.

Malah, tidak keterlaluan bahawa dia bakal menjadi saingan utama kepada S. Kunanlan, Mohd. Khyril Muhymeen atau Mohd. Amirulhadi Zainal dalam merebut kesebelasan utama skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Berasal dari Maran, Pahang, pemain yang dimaksudkan adalah Wan Zack Haikal Wan Nor (gambar), berusia 21 tahun dan mampu beraksi di sayap kiri atau kanan, dia kini beraksi bersama skuad Harimau Muda A dan dijangka menjadi taruhan utama dalam skuad negara ke Kelayakan Olimpik.

Mungkin namanya masih sehangat beberapa pemain seangkatannya seperti Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas atau Izzaq Faris Ramlan kerana belum diberi peluang untuk menonjolkan diri di dalam skuad senior tetapi tidak boleh dinafikan, Wan Zack mempunyai potensi besar untuk diketengahkan.

Dia yang ditemui ketika menjalani latihan bersama skuad Harimau Muda A di Wisma FAM baru-baru ini mengakui kegagalannya mendapat tempat di dalam skuad kebangsaan yang mengibarkan cabaran di Piala Suzuki AFF akan menjadi pemangkin semangat buatnya untuk berusaha lebih gigih.

''Memang kecewa kerana tidak dapat menjadi sebahagian daripada skuad negara yang berjaya mencipta sejarah menjuarai Piala Suzuki AFF buat pertama kali baru-baru ini.

''Namun, jauh sekali saya mahu cepat berputus asa kerana sedar masih banyak masa buat diri saya dan fokus utama saya kini adalah mahu membantu Malaysia di kelayakan Sukan Olimpik,'' katanya.

Merupakan produk kelahiran Felda United, Wan Zack cukup menonjol ketika beraksi bersama Harimau Muda di Slovakia tahun lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz5dLSANNlQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan