Selasa, 29 Januari 2019

Selangor rampas takhta daripada Kelantan


ARKIB : 06/04/2011
 
Pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Nor menanduk keluar bola dalam perlawanan Liga Super menentang Selangor di Shah Alam, malam tadi.

KUALA LUMPUR - Aksi cemerlang Selangor menewaskan skuad Harimau Muda A 2-1 dalam Liga Super, semalam membolehkan pasukan bimbingan K. Devan memintas Kelantan di tangga teratas liga dengan 20 mata.

Selangor bangkit pada babak kedua perlawanan selepas ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan pemain pertahanan Harimau Muda A, Mohd. Fandi Othman minit ke-6 manakala dua gol skuad Reds Giant diperoleh melalui Mohd. Asraruddin Putra Omar minit ke-80 dan gol kemenangan Mohd. Amirulhadi Zainal minit ke-84.

Dalam pada itu, aksi konsisten Perak pada musim ini dengan status tanpa kalah dalam sembilan perlawanan memberi kelebihan kepada skuad itu untuk berada di tangga kedua liga selepas memperoleh kemenangan 2-1 menewaskan Perlis di laman sendiri.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Red Warrios terpaksa akur dengan kekalahan di tempat lawan selepas ditundukkan oleh T-Team 4-3.

Pada aksi di Stadium Darul Aman, Kedah gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila kecundang kepada Johor FC dengan keputusan 1-2.

Keputusan-keputusan lain semalam menyaksikan Negeri Sembilan tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur manakala Felda United sekadar mengutip satu mata selepas seri 1-1 kepada Sabah.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz5e0GNraaH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan