Jumaat, 30 November 2018

Harimau Muda tewas tipis


 ARKIB : 10/09/2009
KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak bawah 19 tahun kebangsaan tewas 1-2 kepada kelab Honved Budapest dari Hungary dalam satu perlawanan persahabatan di sana, kelmarin.

Gol tunggal pasukan Harimau Muda itu dijaringkan oleh Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-60 manakala Honved Budapest yang turut menurunkan pemain bawah 19 menjaringkan satu gol pada setiap separuh masa permainan.

"Pemain-pemain kita membuktikan perbezaan fizikal bukan lagi penghalang besar dalam permainan bola sepak," kata jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee, dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, walaupun permainan lawan agak keras tapi pemain negara boleh mengawal dan melakukan gerakan yang tersusun untuk mencipta peluang.

"Bagi saya, perlawanan ini cukup mencabar dan menjadi pengalaman berguna untuk perlawanan seterusnya," kata Ong.

Perlawanan turut disaksikan Duta Malaysia ke Hungary, Datuk Kamilan Makson dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad.

Ia merupakan perlawanan persahabatan kedua Harimau Muda di Hungary setelah menewaskan Slovan Levice 4-0 pada 31 Ogos lepas.

Pemain-pemain Harimau Muda seramai 26 orang kini dalam program latihan selama 18 hari yang berpusat Vion, Slovakia, sejak awal bulan ini.

Hari ini mereka akan menentang kelab Spartak Trnava dari Slovakia. - BERNAMA
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5YLeRuNgY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan