Sabtu, 15 Disember 2018

Harimau Muda sasar empat teratas Liga Perdana

ARKIB : 11/01/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR -Juara bertahan Liga Perdana, Harimau Muda mensasarkan untuk berada di kalangan empat pasukan terbaik musim ini. Jurulatihnya, Ong Kim Swee berkata, sasaran itu dilihat paling realistik memandangkan pasukan bawah 19 negara itu dibarisi oleh kebanyakan muka baru.

Jelasnya, hanya sembilan pemain dari musim lalu masih bersama skuad itu dan 21 pemain lain ialah muka baru dalam skuad berkenaan.

''Seperti mana semasa penubuhan pasukan ini pada 2008, mereka berada di pertengahan liga semasa musim pertama sebelum muncul juara pada tahun berikutnya.

''Oleh itu, berada antara empat teratas sudah boleh dikira satu kejayaan dan saya anggap tahun ini sebagai tahun pendedahan kepada Harimau Muda,'' katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Selain itu, Kim Swee menaruh harapan agar pemainnya dapat menunjukkan kematangan dan mempunyai sikap mahu menang dalam setiap perlawanan.

''Walaupun masih tiada pengalaman, namun saya mahu mereka semua dapat mengenepikan psikologi itu dan menumpukan sepenuh perhatian dalam setiap perlawanan,'' ujarnya.

Menyentuh aksi pertemuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini di Stadium Selayang, beliau menegaskan pemain-pemainnya tidak gentar dengan reputasi skuad itu yang dibarisi pemain berpengalaman seperti Khalid Jamlus dan V. Saravanan.

''Pasukan ATM boleh dianggap pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Perdana tahun ini dan saya hormati barisan wajah baru ATM yang telah melakukan persiapan rapi dengan menjalani latihan di Australia.

''Namun, jika esok kita mampu meraih sekurang-kurangnya satu mata saya sudah anggap ia satu kejayaan namun kalau menang lagi bagus,'' katanya.

Antara pemain skuad Harimau Muda yang dijangka menyinar di mata Kim Swee ialah Mohd. Fadli Shas, Wan Zack Haikal, A. Thamil Arasu, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Fandi Othman dan Mohd. Irfan.

''Pemain-pemain ini bakal menjadi tonggak utama kepada kekuatan Harimau Muda dan saya harapkan mampu memberikan yang terbaik di samping pemain lain,'' katanya.

Tahun ini pasukan Harimau Muda bakal menjadikan Stadium Hang Tuah, Melaka sebagai gelanggang tuan rumah.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5ZoAivcNO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan