Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my

PEMAIN sayap FELDA United, Wan
Zack Haikal Wan Nor yakin pasukan itu tidak akan pincang sekalipun tanpa
kelibatnya apabila berdepan UKM FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam
esok.
Wan Zack yang tidak dapat
diturunkan kerana menjalani penggantungan satu perlawanan selepas menerima kad
merah ketika seri 2-2 dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), 27 Jun lalu
berkata, FELDA memiliki ramai pemain yang mampu menampung kekosongan itu.
“Memang agak mengecewakan apabila
sekadar menjadi penonton malam esok. Tapi, saya yakin ia bukan masalah besar
kepada FELDA kerana ramai pemain boleh mengisi tempat saya,” kata Wan Zack.
“Kelebihan FELDA musim ini adalah
kami mempunyai kelompok pemain yang memiliki kemampuan seimbang sama ada
kesebelasan utama mahupun simpanan.
“Jadi, bila ada masalah
kecederaan atau penggantungan, ia tidak menjejaskan pasukan. Siapa pun yang
diturunkan, ia mampu meneruskan rentak dan prestasi pasukan.”
Menurut Wan Zack, apa yang
penting adalah The Fighters terus fokus bagi memastikan kejuaraan Liga Perdana
yang semakin hampir dalam genggaman tidak terlepas pada saat-saat akhir.
Skuad bimbingan B Sathianathan
itu kini selesa menerajui carta liga dengan 37 mata, berkelebihan sembilan mata
ke atas pencabar terdekat, FELCRA FC namun Wan Zack menganggap itu belum
selamat memandangkan pertandingan masih berbaki empat perlawanan.
“Kami tidak perlu memikirkan
berapa mata lagi diperlukan untuk muncul juara. Apa yang penting adalah terus
fokus untuk menang setiap perlawanan seperti kami lakukan sebelum ini. Ia tidak
terkecuali perlawanan malam esok yang mana tiga mata menjadi sasaran FELDA.
Namun, ia bukan perlawanan mudah
kerana UKM juga sedang menunjukkan peningkatan walaupun kini berada pada
kelompok bawahan liga,” kata pemain kebangsaan itu.
SUBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 12 Julai 2018 @ 2:34 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan