HM Digital

Kuala Lumpur: Pemain sayap, Wan
Zack Haikal Wan Noor berharap dapat mengatasi trauma yang menghantui dirinya
untuk membantu skuad Harimau Malaya melakar kemenangan ke atas Hong Kong dalam
aksi kelayakan Piala Asia 2019, 10 Oktober ini.
Prestasi terkini pemain berusia
26 tahun itu jelas memperlihatkan peningkatan apabila membantu FELDA United
mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan melonjak ke tangga ketiga Liga Super.
Namun, di sebalik perkembangan
positif itu, Wan Zack mengaku terpaksa bergelut untuk bangkit daripada
kecederaan teruk dialami empat tahun lalu.
“Alhamdulilah, tak dinafikan
ini hasil kerja keras saya untuk kembali pulih. Sebenarnya saya masih rasa
trauma setiap kali Oktober, kerana pengalaman ini saya tak pernah lupa sebab
pada bulan inilah saya mengalami kecederaan paling teruk dalam karier saya,”
katanya kepada Arena Metro.
Pada Oktober 2013, Wan Zack
terpaksa menjalani pembedahan ACL (Anterior Cruciate Ligament) akibat
kecederaan lutut kanannya sehingga menyebabkan berehat panjang dan tidak dapat
meneruskan kontraknya bersama kelab Jepun FC Ryukyu.
Selepas itu, bekas Pemain
Paling Bernilai Pestabola Merdeka 2013, Pemain Muda Terbaik Kebangsaan 2011 dan
Liga Singapura 2012 itu bergelut untuk kembali berada di tahap terbaiknya
sehinggalah namanya kembali menjadi sebutan apabila menyertai FELDA United
tahun ini.
Wan Zack turut bersama skuad
kebangsaan kendalian Nelo Vingada ke Hong Kong dan dia mengaku sedia untuk
memberikan aksi terbaik selepas hanya masuk sebagai pemain gantian lima minit
sebelum perlawanan tamat ketika seri 1-1 menentang Hong Kong di Stadium Hang
Jebat, Melaka 5 September lalu.
“Saya perlu mendapatkan tempat
dalam kesebelasan utama kerana persaingan bukan mudah. Saya percaya kita boleh
menang dengan Hong Kong kalau kita bermain mati-matian. Tak kisah siapa yang
akan diturunkan kerana siapa yang dipilih berikan yang terbaik untuk kemenangan
pasukan,” katanya.
Malaysia perlu menang ke atas
Hong Kong pada perlawanan ketiga Kumpulan B ini selepas tewas 1-2 kepada Lubnan
dan seri 1-1 dengan Hong Kong untuk menduduki tangga tercorot.
sumberArtikel ini disiarkan
pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 4:25 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan