Jumaat, 30 November 2018

Harimau muda terlepas peluang


ARKIB : 03/10/2009
KUALA LUMPUR - Pasukan Harimau Muda melepaskan peluang terbaik untuk memenangi perlawanan pembukaan pada Kejohanan Bola Sepak Undangan Empat Negara di Laos semalam, apabila membenarkan Thailand menyamakan kedudukan pada saat akhir untuk sekadar seri 2-2.

Skuad bawah 19 negara itu mendahului 2-1 ketika perlawanan tinggal lagi seminit untuk ditamatkan, namun kesilapan penjaga gol yang terkeluar dari posisi menyebabkan Thailand berjaya menyumbat gol penyamaan lewat minit.

Walaupun seri, anak-anak buah Ong Kim Swee mempamer aksi pantas dan menghiburkan sepanjang 90 minit permainan, malah mencipta beberapa peluang cantik, termasuk rembatan yang terkena palang pada masa kecederaan.

Terdahulu, Malaysia memperoleh kedua-dua jaringannya menerusi penyerang, Mohd. Khairul Izuan Rosli dan pemain tengah, Wan Zack Haikal Wan Nor.

Perlawanan kedua negara adalah bertemu Vietnam, Ahad ini, diikuti pertemuan dengan tuan rumah Selasa depan.

Kejohanan Empat Negara, yang turut menampilkan Vietnam dan tuan rumah, Laos merupakan pertandingan Pra-Sukan SEA 2009 yang bertujuan menguji persiapan Laos untuk menganjurkan Sukan SEA, Disember ini.

Ini merupakan perlawanan pertama yang diadakan di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YM0qarGp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau Muda tewas tipis


 ARKIB : 10/09/2009
KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak bawah 19 tahun kebangsaan tewas 1-2 kepada kelab Honved Budapest dari Hungary dalam satu perlawanan persahabatan di sana, kelmarin.

Gol tunggal pasukan Harimau Muda itu dijaringkan oleh Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-60 manakala Honved Budapest yang turut menurunkan pemain bawah 19 menjaringkan satu gol pada setiap separuh masa permainan.

"Pemain-pemain kita membuktikan perbezaan fizikal bukan lagi penghalang besar dalam permainan bola sepak," kata jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee, dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, walaupun permainan lawan agak keras tapi pemain negara boleh mengawal dan melakukan gerakan yang tersusun untuk mencipta peluang.

"Bagi saya, perlawanan ini cukup mencabar dan menjadi pengalaman berguna untuk perlawanan seterusnya," kata Ong.

Perlawanan turut disaksikan Duta Malaysia ke Hungary, Datuk Kamilan Makson dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad.

Ia merupakan perlawanan persahabatan kedua Harimau Muda di Hungary setelah menewaskan Slovan Levice 4-0 pada 31 Ogos lepas.

Pemain-pemain Harimau Muda seramai 26 orang kini dalam program latihan selama 18 hari yang berpusat Vion, Slovakia, sejak awal bulan ini.

Hari ini mereka akan menentang kelab Spartak Trnava dari Slovakia. - BERNAMA
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5YLeRuNgY
© Utusan Melayu (M) Bhd