Jumaat, 6 Oktober 2017

Wan Zack tekad atasi trauma



HM Digital

Kuala Lumpur: Pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Noor berharap dapat mengatasi trauma yang menghantui dirinya untuk membantu skuad Harimau Malaya melakar kemenangan ke atas Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019, 10 Oktober ini.

Prestasi terkini pemain berusia 26 tahun itu jelas memperlihatkan peningkatan apabila membantu FELDA United mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan melonjak ke tangga ketiga Liga Super.

Namun, di sebalik perkembangan positif itu, Wan Zack mengaku terpaksa bergelut untuk bangkit daripada kecederaan teruk dialami empat tahun lalu.

“Alhamdulilah, tak dinafikan ini hasil kerja keras saya untuk kembali pulih. Sebenarnya saya masih rasa trauma setiap kali Oktober, kerana pengalaman ini saya tak pernah lupa sebab pada bulan inilah saya mengalami kecederaan paling teruk dalam karier saya,” katanya kepada Arena Metro.

Pada Oktober 2013, Wan Zack terpaksa menjalani pembedahan ACL (Anterior Cruciate Ligament) akibat kecederaan lutut kanannya sehingga menyebabkan berehat panjang dan tidak dapat meneruskan kontraknya bersama kelab Jepun FC Ryukyu.

Selepas itu, bekas Pemain Paling Bernilai Pestabola Merdeka 2013, Pemain Muda Terbaik Kebangsaan 2011 dan Liga Singapura 2012 itu bergelut untuk kembali berada di tahap terbaiknya sehinggalah namanya kembali menjadi sebutan apabila menyertai FELDA United tahun ini.

Wan Zack turut bersama skuad kebangsaan kendalian Nelo Vingada ke Hong Kong dan dia mengaku sedia untuk memberikan aksi terbaik selepas hanya masuk sebagai pemain gantian lima minit sebelum perlawanan tamat ketika seri 1-1 menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka 5 September lalu.

“Saya perlu mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama kerana persaingan bukan mudah. Saya percaya kita boleh menang dengan Hong Kong kalau kita bermain mati-matian. Tak kisah siapa yang akan diturunkan kerana siapa yang dipilih berikan yang terbaik untuk kemenangan pasukan,” katanya.

Malaysia perlu menang ke atas Hong Kong pada perlawanan ketiga Kumpulan B ini selepas tewas 1-2 kepada Lubnan dan seri 1-1 dengan Hong Kong untuk menduduki tangga tercorot.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 4:25 AM

Isnin, 25 September 2017

Piala Malaysia: Misi ke separuh akhir belum berakhir - Wan Zack




Jumaat, 22 September 2017 | 3:23pm
PEMAIN tengah The Fighters, Wan Zack Haikal (kiri) berkata kelabnya harus mempamerkan aksi luar biasa jika mahu melangkah ke separuh akhir saingan Piala Malaysia. - Foto Farizul Hafiz Awang
Piala Malaysia: Misi ke separuh akhir belum berakhir - Wan Zack
Oleh Asrol Awang
bhsukan@bh.com.my
 
KUANTAN: FELDA United FC belum menyerah kalah biarpun sedar tugas berat menanti apabila bertemu pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC pada suku akhir kedua Piala Malaysia, Ahad ini.

Pemain tengah The Fighters, Wan Zack Haikal Wan Noor berkata, kelab itu tiada pilihan kecuali mempamerkan aksi luar biasa jika mahu melangkah ke separuh akhir saingan Piala Malaysia.

Katanya, kelebihan jaringan dimiliki PKNP yang mencatatkan kemenangan 3-1 pada suku akhir pertama piala itu tidak bermakna misi kelab itu untuk mengisi empat slot terbaik sudah berakhir.

Katanya fokus utama adalah menajamkan jentera serangan dan tengah dalam usaha mendapatkan gol awal sebagai motivasi kepada pasukan.

"Kami tidak boleh memberikan ruang kepada mereka (PKNP) mengawal permainan, sebaliknya sebaik perlawanan bermula, gol awal perlu dicari untuk mencetus semangat pemain.

"Biarpun ia dilihat mustahil, tapi saya tetap percaya peluang FELDA United masih terbuka," katanya.

Mengulas pertukaran aksi di Stadium Shah Alam, Wan Zack Haikal berkata, ia turut membantu kerana beraksi di gelanggang berkecuali berbanding di tempat lawan.

Bagaimanapun, dia mengakui pemain lawan sudah pasti tidak beraksi dalam tekanan kerana mereka juga tidak berhadapan dengan penyokong sendiri.

"Tumpuan kini lebih kepada kesungguhan semua rakan sepasukan untuk mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas PKNP.

"Kami perlu guna peluang tempoh 90 minit yang ada dengan mempamerkan aksi mantap di bahagian serangan, tengah dan pertahanan," katanya.
BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 22 September 2017 | 3:23pm


Khamis, 21 September 2017

Jangan takut orang ejek'



Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
 
PEMAIN tempatan seharusnya menyalahkan diri sendiri jika tidak menjadi pilihan jurulatih untuk berada dalam skuad utama pasukan masing-masing.

Ia berikutan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menambah satu lagi kuota import untuk pemain rantau Asia Tenggara dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBSM), B Sathianathan menjelaskan pemain tempatan perlu lebih bekerja keras untuk menghadapi cabaran lebih hebat bersaing dengan pemain import.

Sathianathan berkata, antara yang perlu dilakukan termasuk mengambil inisiatif sendiri dengan melakukan latihan tambahan antara 20 hingga 30 minit selain menjaga pemakanan dan waktu tidur mereka.

“Tidak ramai pemain muda kita buat latihan tambahan selepas berlatih bersama pasukan. Antara faktornya mereka takut diejek, itu satu sikap pemain kita, bila nampak budak baru nak buat sesuatu, mereka ejek.

“Tengok macam Marlon Alex James dulu, selepas latihan dia akan panggil penjaga gol dan membuat latihan rembatan. Pemain tempatan pun ada seperti Indra Putra Mahayuddin dan Hairuddin Omar.

“Macam kelmarin (ketika Kedah lawan FELDA United), kalau ditanya kenapa Wan Zack Haikal (Wan Noor) dapat jaringkan dua gol daripada sepakan percuma, sebab selepas latihan dia selalu ambil bola dan berlatih sepakan percuma,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 8:17 PM

Ahad, 19 Februari 2017

Wan Zack intai tempat

Kuantan: Seakan mendapat semangat baru, pemain terbaik kejohanan Pestabola Merdeka ke-41 Wan Zack Haikal Wan Noor bertekad untuk kembali memburu tempat dalam kesebelasan utama kelab Jepun FC Ryukyu.

Pemain sayap lincah itu akan kembali ke Okinawa hari ini selepas menjadi antara pemain paling menyerlah ketika membantu skuad bawah 23 tahun negara (B-23) menumpaskan Myan mar B-23 2-0 pada final Pestabola Merdeka, kelamrin.

Meskipun tidak menjaringkan gol pada perlawanan itu, gerakan Wan Zack Haikal kerap kali mengucar-kacirkan pertahanan lawan malah gol pertama jaringan Rozaimi Abd Rahman pada minit ke-29 adalah hasil percubaannya yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Myanmar Pyaye Phyo Aung.
Sebelum itu dia dianggap wira selepas menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma menarik ketika mengalahkan Myanmar 2-1 pada pusingan awal.

Bagaimanapun nasib pemain berusia 22 tahun itu bersama FC Ryukyu tidaklah begitu menggembirakan apabila sejak menandatangani kontrak dua tahun dengan kelab divisyen tiga itu pada Mac lalu, dia hanya tampil dalam dua perlawanan.

Ia gara-gara kecederaan buku lali kanan yang dialaminya ketika terjatuh pada sesi latihan sehingga menyebabkannya berehat panjang.
“Dengan kejayaan di Pestabola Merdeka ini saya berasa tambah yakin dengan diri saya sendiri. Saya percaya ini dapat membantu saya apabila kembali ke Jepun dan bersaing merebut tempat dalam skuad utama kelab FC Ryukyu,” katanya.

Smber-Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/16