Kuantan: Seakan mendapat semangat
baru, pemain terbaik kejohanan Pestabola Merdeka ke-41 Wan Zack Haikal Wan Noor
bertekad untuk kembali memburu tempat dalam kesebelasan utama kelab Jepun FC
Ryukyu.
Pemain sayap lincah itu akan
kembali ke Okinawa hari ini selepas menjadi antara pemain paling menyerlah
ketika membantu skuad bawah 23 tahun negara (B-23) menumpaskan Myan mar B-23
2-0 pada final Pestabola Merdeka, kelamrin.
Meskipun tidak menjaringkan gol
pada perlawanan itu, gerakan Wan Zack Haikal kerap kali mengucar-kacirkan
pertahanan lawan malah gol pertama jaringan Rozaimi Abd Rahman pada minit ke-29
adalah hasil percubaannya yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Myanmar Pyaye
Phyo Aung.
Sebelum itu dia dianggap wira
selepas menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma menarik ketika
mengalahkan Myanmar 2-1 pada pusingan awal.
Bagaimanapun nasib pemain berusia
22 tahun itu bersama FC Ryukyu tidaklah begitu menggembirakan apabila sejak
menandatangani kontrak dua tahun dengan kelab divisyen tiga itu pada Mac lalu,
dia hanya tampil dalam dua perlawanan.
Ia gara-gara kecederaan buku lali
kanan yang dialaminya ketika terjatuh pada sesi latihan sehingga menyebabkannya
berehat panjang.
“Dengan kejayaan di Pestabola
Merdeka ini saya berasa tambah yakin dengan diri saya sendiri. Saya percaya ini
dapat membantu saya apabila kembali ke Jepun dan bersaing merebut tempat dalam
skuad utama kelab FC Ryukyu,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: 2013/09/16